Thursday, June 2, 2011

MAJLIS PECAH TANAH MASJID BARU KOLAM AYER (3 APR 2011)

MAJLIS PECAH TANAH MASJID BARU KOLAM AYER (3 APR 2011)


MASJID BARU RM9 JUTA BERKONSEPKAN BANGUNAN HIJAU PERTAMA DI NEGERI
Dibina di kawasan perkampungan Alaf Baru di tengah bandaraya Johor Bahru
MAJLIS PECAH TANAH MASJID BARU KOLAM AYER
JOHOR BAHRU (Ahad – 3hb April 2011): Nongchik Heights adalah projek perumahan berkonsepkan perkampungan abad ke-21 di tengah-tengah bandaraya Johor Bahru. Ia dimajukan di kawasan perkampungan tradisi terawal iaitu Nong Chik dan kawasan sekitarnya. Selain dilengkapi dengan kemudahan infrastuktur, kawasan ini bakal mempunyai Masjid Hijau baru yang pertama di negeri Johor. Upacara majlis pecah tanah tapak Masjid Hijau ini dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman di tapak projek Jalan Kolam Ayer-Nong Chik. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Mudra Tropika Sdn Bhd, YB Dato’ Mohd Rashidi bin Md Noor serta Pengarah Urusan, YB Dato’ Abdul Rahman bin Mohd Sharif.
Dengan kos sebanyak RM9 juta, Masjid Hijau ini akan dibina oleh Mudra Tropika Sdn Bhd, iaitu syarikat yang membangunkan projek Nongchik Heights. Projek pembinaan masjid ini akan dimulakan pada akhir tahun 2011 dan bakal siap sepenuhnya pada akhir tahun 2013. Masjid seluas 5,000 meter persegi ini mampu memuatkan seramai 2,000 jemaah dalam satu masa.
Masjid ini akan menerapkan elemen seni bina islam dan tropika pada kubah, menara, serambi dan motif geometrik. Sebagai contoh menara masjid dibina daripada arca logam yang mempunyai lima kepingan penyokong yang melambangkan lima Rukun Islam. Struktur binaan daripada besi pula adalah simbolik kepada kekuatan agama Islam. Antara teknologi yang akan di gunakan ialah BIPV (Building Intergrrated Photovoltanics) yang akan menjana tenaga elektrik daripada tenaga solar. Di mana tenaga elektrik yang dijana akan di jual dan di salurkan kepada grid utama Tenaga Nasional Berhad.
Keperluan bil elektrik masjid akan di-offset daripada penjualan tenaga elektrik kepada TNB, sekiranya penjanaan elektrik melebihi penggunaan maka masjid tidak perlu membayar bil elektrik untuk tempoh berkenaan. Keperluan air bagi masjid ini akan diterapkan dengan sistem pengumpulan air hujan yang akan digunakan sama ada untuk kegunaan wuduk, penyelenggaraan kawasan taman atau tandas. Dengan mengunakan dua unsur hijau iaitu cahaya matahari dan air hujan maka masjid ini akan menjimatkan kos perbelanjaan operasi terbesar masjid.
Masjid unik yang akan mengantikan masjid sedia ada ini akan melengkapkan projek perumahan ala kampong Nongchik Heights dan Nongchik Riverside yang sedang dibangunkan oleh Mudra Tropika Sdn Bhd, di mana masjid sedia ada akan dijadikan pusat aktiviti masyarakat Islam bagi kegunaan masyarakat setempat. Masjid ini diharapkan akan menjadi mercu tanda yang bukan hanya mementingkan aspek fizikal semata-mata tetapi mampu menonjolkan ciri-ciri islam yang menggunakan sumber alam semula jadi kurnian Allah S.W.T dengan sebaik-baiknya.

P4030978

No comments:

Post a Comment